KASPIYSK: Atlet MMA Russia Khabib Nurmagomedov berkata, dia sudah ‘menutup mulut si bodoh’ Conor McGregor ketika menerima sambutan wira sejurus tiba di negeri kelahirannya, Dagestan susulan kejayaannya mempertahankan kejuaraan lightweight UFC dengan menewaskan atlet Ireland itu di Las Vegas.

“Khabib! Khabib!” laung lebih 20,000 peminat bagi meraikan ketibaan juara tanpa kalah itu di sebuah arena di bandar Kaspiysk yang terletak 14 kilometer dari bandaraya utama Dagestan, Makhachkala.

Teruja dengan penampilan atlet berkenaan, ratusan rakan rapatnya cuba untuk melepasi deretan pengawal dalam usaha mereka berada lebih hampir dengan Khabib.
“Terima kasih saudara,” kata Khabib sambil menunjukkan tali pinggang juara kepada orang ramai.

Sabtu lalu, Khabib mempertahankan kejuaraan dunia miliknya di arena Ultimate Fighting Championship (UFC) selepas menewaskan McGregor yang membuat keputusan menyerah kalah pada pusingan keempat pertarungan.

Kemenangan itu menyaksikan atlet gabungan seni mempertahankan diri (MMA) itu memperbaiki rekod profesionalnya kepada 27-0.

“Saya berdoa kepada Tuhan setiap hari supaya tidak memperoleh kecederaan, atas semua yang berlaku,” kata Khabib.

“Saya mahu menutup mulut si bodoh untuk membuktikan perbezaan di antara orang kita dan orangnya. Tiada siapa boleh memecah belahkan kita, orang kita mempunyai sejarah yang hebat.”

Sebelum pertarungan itu berlangsung, McGregor yang terkenal dengan kelancangan mulutnya beberapa kali melanggar batas dengan menyentuh hal peribadi Khabib dengan menghina agama, negara dan ayahnya.

Sekali pun memenangi tali pinggang berkenaan, Khabib begitupun masih menunggu pengesahan sama ada dia akan menerima wang hadiah kemenangan berjumlah AS1.5 juta dolar (RM6.24 juta) selepas mencetus kekecohan dengan melompat pagar gelanggang untuk menyerang salah seorang rakan pelatih McGregor, Dillon Danis.

Sementara itu, UFC menggantung McGregor daripada bertarung selama sebulan selepas gagal melepasi ujian perubatan manakala Khabib tidak dikenakan sebarang penggantungan.

Sumber: hmetro

Berita Lain

Ridzuan, Latiff lebur rekod dunia

KUALA LUMPUR: Selepas permulaan perlahan, kontinjen Malaysia di Sukan Para Asia 2018 Indonesia mula menuai pingat emas, hari ini termasuk memecahkan rekod dunia menerusi dua jaguh olahraga, Ridzuan Puzi dan Abdul Latiff Romly.

Ridzuan yang juga pemenang pingat emas di Sukan Paralimpik Rio 2016 memenangi acara kegemarannya, pecut 100 meter (m) dalam kelas T36 selepas mencatatkan 11.87 saat (s) pada aksi di Stadium Gelora Bung Karno.

Kejayaan itu menyaksikannya memecahkan rekod yang sebelum ini dipegang atlet Russia, Evgenii Shvetcov 11.90s yang dilakukan pada Kejuaraan Dunia 2013 di Lyon, Perancis.

Atlet China, Yang Yifei yang mencatat 11.91s memenangi perak manakala Al Harrasi Taha Abdullah Rashid dari Oman meraih gangsa dengan catatan 12.36s.

Sementara itu, Latiff yang beraksi dalam acara lompat jauh turut memecahkan rekod dunia miliknya dalam kategori T20 selepas melakukan catatan 7.64m untuk memenangi emas.

Catatan itu memperbaharui rekod 7.60m yang dilakukannya ketika memenangi emas di Rio, dua tahun lalu dengan dua atlet Jepun, Kokubo Kanta Yamaguchi Mitsuo masing-masing meraih perak dan gangsa selepas melakukan catatan 6.79m dan 6.68m.

Secara keseluruhan, kontinjen negara menuai enam emas, hari ini dengan empat daripadanya hadir dalam acara olahraga.

Terdahulu, Malaysia memulakan tuaian emas menerusi Siti Noor Iasah Mohamad Ariffin dan Nasharuddin Mohamed yang menjuarai acara 400m wanita dan lelaki T20 (masalah pembelajaran).

Dua lagi emas disumbangkan dalam acara berbasikal menerusi Zuhairie Ahmad Tarmizi (lebuh raya C5) dan Nur Azlia Syafinaz (lebuh raya B).

Sumber: hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *