SEORANG penyanyi wanita menerima padah apabila ditahan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) selepas didapati memelihara dan menyimpan seekor beruang matahari secara haram di dalam kondominiumnya, di Kuala Lumpur, semalam.
Terdahulu, pasukan bomba dan PERHILITAN menyelamatkan haiwan dilindungi itu dalam sebuah kondominium milik selebriti yang berusia awal 20-an itu di Desa Pandan.
Ketua Pengarah PERHILITAN, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pihaknya menerima maklumat daripada jiran wanita itu berhubung penemuan beruang berkenaan sebelum melakukan pemeriksaan mengejut, 8 malam tadi.
“Siasatan dilakukan PERHILITAN Kuala Lumpur sebelum serbuan dijalankan di sebuah kondominium dekat Desa Pandan.
“Hasil pemeriksaan, kami menemui seekor beruang matahari yang disimpan di dalam sangkar dalam kediaman itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati artis itu yang juga penyanyi Rock tidak memiliki dokumen sah daripada PERHILITAN bagi pemilikan hidupan liar terbabit.
“Susulan itu, beruang berkenaan dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat PERHILITAN untuk tindakan lanjut. Pegawai PERHILITAN yang terbabit juga membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Cheras berhubung kes ini.
“Siasatan dilakukan dijalankan untuk mengesan pihak yang bertanggungjawab membekalkan beruang berkenaan kepada artis wanita itu. Kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum hingga RM500,000 dan penjara lima tahun,” katanya.
Katanya, pihaknya terlebih dahulu menerima maklumat daripada orang awam mengenai beruang itu yang ditinggalkan sejak dua hari lalu disebabkan penjaganya pulang ke kampung sempena Aidilfitri.
“Jiran di kondominium berkenaan memaklumkan mendengar bunyi pelik sejak dua hari lalu sebelum haiwan itu mengeluarkan kepalanya dari salah satu tingkap,” katanya.

Berita Berkaitan

Jiran terkejut beruang ‘minta’ makanan

KUALA LUMPUR – Bunyi bising dari sebuah unit tidak berpenghuni di tingkat 16 sebuah kediaman bertingkat di ibu negara mengejutkan jiran tetangga apabila rupa-rupanya terdapat seekor beruang matahari yang ‘menjengah’ di salah satu tingkap dapur unit berkenaan.

Beruang itu dipercayai sedang kelaparan kerana dikatakan ditinggalkan sejak dua hari oleh penghuni yang pulang ke kampung sempena Aidilfitri.

Insiden berlaku kira-kira jam 4.57 petang semalam itu dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook menggunakan nama Ida Shareena yang juga penduduk di situ namun mendapat maklumat berkenaan daripada jiran-jiran menerusi ‘group WhatsApp’ ketika dia berada Muar, Johor.

Menerusi perkongsian itu, Ida Shareena memaklumkan pada awalnya, kehadiran beruang itu disangka sebagai satu gurauan oleh individu yang memakai pakaian beruang untuk menakutkan kanak-kanak.

Pasukan Bomba dan Jabatan Perhilitan bertindak pantas ke lokasi sebaik menerima laporan.
Bagaimanapun katanya, tindakan salah seorang jiran di unit bawah unit berkenaan merakamkan video beruang itu cuba keluar dari tingkap membuktikan insiden itu benar-benar sedang berlaku.

“Nasib baik pemilik unit itu sendiri begitu rensponsif dan menghubungi pihak pengurusan untuk menyelesaikan masalah itu. Menurut pemilik berkenaan, unit itu disewa oleh dua orang wanita,” katanya menerusi perkongsian itu.

Penyewa unit berkenaan kemudiannya dihubungi dan operasi menyelamat dijalankan oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) serta Jabatan Perhilitan sebaik sahaja salah seorang penghuni itu pulang dan membuka pintu rumah.

Ida Shareena dalam perkongsian itu turut mengucapkan terima kasih kepada pihak bomba dan Jabatan Perhilitan atas tindakan pantas yang dilakukan bagi menyelesaikan perkara tersebut.

Perkongsian dibuat oleh pengguna Facebook menggunakan nama Ida Shareena.
Dia berharap agar pemilik haiwan berkenaan dihukum dan beruang itu dijaga dengan baik serta dihantar kembali ke habitat asal dan turut meninggalkan pesan agar orang ramai berhenti membela haiwan liar dan haiwan terancam secara haram sebagai haiwan kesayangan di rumah kerana ia adalah satu tanggungjawab yang begitu besar.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, mengesahkan kejadian dan memaklumkan bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.59 petang sebelum 6 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pudu dihantar ke lokasi kejadian.

“Anak beruang yang setinggi 3 kaki telah ditangkap kemudian diserahkan kepada pegawai perhilitan dan operasi tamat pada jam 7.42 malam.

“Beruang berkenaan dipelihara tanpa permit,” katanya.

Sumber: sinarharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *