Kehilangan ahli keluarga terdekat adalah sesuatu yang amat memeritkan, apatah lagi orang yang paling kita rapat dan kita sayangi. Bagi ibubapa pula, kehilangan anak-anak adalah ujian yang paling besar buat mereka. Bayangkan anak-anak yang saban hari menjadi penghibur dengan pelbagai keletah, tiba-tiba pergi untuk selamanya. Semoga keluarga ini tabah menghadapi ujian getir ini dan sama-samalah kita semoga mereka dipermudahkan urusan oleh Allah SWT dan bacaan Alfatihah buat yang telah pergi..

Seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian,

Bapa tiga kanak-kanak yang maut dalam kemalangan di Kilometer 272.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara petang semalam seboleh-bolehnya mahu merahsiakan kematian itu daripada isterinya.

Muhammad Alhafis Mohamad, 29, berkata, isterinya Nur Aimi Nadiah Abdul Rahim, 27, masih belum sedarkan diri dan belum mengetahui nasib menimpa ketiga-tiga anak mereka.

“Bila isteri sudah sedar, mungkin saya akan tunggu masa yang sesuai untuk beritahu mengenai kematian anak-anak… seboleh-bolehnya saya tak nak beritahu dulu,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini.

Dia yang kelihatan lemah ditenangkan dan dipapah ahli keluarga ke bahagian ruang pekarangan forensik.

Keadaan lebih sayu, apabila kedengaran tangisan Muhammad Alhafis dan ahli keluarga yang tidak mampu menahan sebak atas pemergian ketiga-tiga mangsa.

“Saya minta maaf… saya minta maaf… semua dah tiada,” luah Muhammad Alhafis.

Suasana pilu menyelubungi Jabatan Forensik HRPB apabila keluarga hadir menunggu proses bedah siasat ketiga-tiga jenazah bermula jam 2 petang.

Muhammad Alhafis bersama ahli keluarganya sebak ketika jenazah tiga anaknya di bilik forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh. – NSTP

Dalam kemalangan kira-kira jam 3 petang itu, Nur Aimi Nadiah parah, manakala tiga anaknya, Muhammad Adam Hakimi Muhammad Alhafis, 7; Muhammad Lutfi Hakim, 3, dan Muhammad Affan Hafiy, 1, maut di lokasi kejadian selepas Perodua Axia dipandu terbabas dan melanggar belakang treler di laluan kecemasan.

Kemalangan membabitkan kereta dan dua lori di Kilometer 272.5 PLUS arah utara berhampiran Taman Rekreasi Gunung Lang dekat Ipoh, Perak.

Kemalangan berpunca daripada Perodua Axia terbabas sendiri lalu melanggar belakang treler yang berada di lorong kecemasan.

Sementara itu Muhammad Alhafis menafikan dakwaan bahawa Nur Aimi Nadiah ke Melaka atas urusan mahkamah bagi menyelesaikan isu peribadi antara mereka, sebaliknya isterinya itu datang bercuti.

“Bukan urusan mahkamah, dia memang bercuti dan berjumpa dengan saya atas urusan keluarga, saya memang tinggal dan bekerja di Melaka,” katanya.

Menurutnya, jenazah tiga anaknya akan dibawa pulang dan dikebumikan di Kampung Sungai Putat, Melaka.

Muhammad Alhafis (dua dari kiri) bersama ahli keluarganya sebak ketika jenazah keluar dari bilik forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh. – NSTP

 

Tiga kanak-kanak maut dalam kemalangan di Kilometer 272.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara petang semalam. – Foto Bomba

Berita Berkaitan

Ibu masih koma, belum tahu kematian tiga anak

IPOH: Wanita yang kematian tiga anak dalam nahas di Kilometer 272.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, petang semalam, masih berada dalam keadaan koma tetapi stabil.

Mangsa, Nur Aimi Nadiah Abdul Rahim, 27, dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun, pagi tadi.

Sehingga kini, ahli keluarganya belum berpeluang melihat sendiri keadaan mangsa, sebaliknya sekadar mendapat maklumat daripada doktor yang merawat.

Abang mangsa, Muhd Jazli Aiman, 31, berkata mereka dimaklumkan doktor yang adiknya berada dalam keadaan stabil.

“Saya pun belum berkesempatan melihat adik kerana tidak dibenarkan berbuat demikian dan tidak tahu keadaannya macam mana.

“Kami dimaklumkan doktor, yang adik saya stabil cuma belum sedarkan diri,” katanya ketika ditemui menguruskan jenazah tiga anak saudaranya yang terbunuh dalam nahas itu di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini hari ini.

Muhd Jazli berkata, ketika nahas berlaku, adiknya dalam perjalanan ke Pulau Pinang untuk bekerja sebagai kerani sebuah syarikat swasta di sana.

Beliau berkata, Nur Aimi bersama ketiga-tiga anaknya memang tinggal berasingan dengan suami.

Katanya, jenazah tiga anak saudaranya itu dijangka akan dikebumi Kampung Sungai Putat, Melaka, hari ini.

Dalam nahas jam 3 petang itu, Nur Aimi Nadiah, 27, cedera parah manakala tiga anaknya, Muhammad Adam Hakimi Muhammad Alhafis, 7; Muhammad Lutfi Hakim, 3, dan Muhammad Affan Hafiy, 1, maut di lokasi.

Kejadian berlaku apabila Perodua Axia dipandu Nur Aimi terbabas sebelum melanggar belakang treler yang berada di laluan kecemasan.

Kemalangan membabitkan kereta dan dua lori itu berlaku di Kilometer 272.5 PLUS arah utara berhampiran Taman Rekreasi Gunung Lang dekat Ipoh, Perak.

Tiga kanak-kanak lelaki maut dan seorang wanita cedera parah dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kenderaan dan dua lori di Kilometer 272.4 PLUS arah Utara, Simpang Pulai, semalam. – Foto ihsan Bomba Perak

Sumber: BHOnline

Disclaimer: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab secara langsung atau tidak lansung ke atas komen-komen yang diberikan oleh para pembaca article ini. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis sebarang komen. Pihak admin tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Komen secara matang okay! Love you all

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *